Friday 19 August 2011

39Share

Salam ramadhan. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan kesempatan untuk kita menjalani ibadah wajib puasa dan juga ibadah sunat tarawih. Semoga kita diberikan kesihatan yang terbaik tanpa halangan untuk melakukan segala ibadah wajib mahupun sunat di bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan ramadhan al-mubarak. Dalam kita berlumba-lumba melakukan ibadah, adakah kita tahu segala pengertian solat sunat tarawih?Hukum Solat Sunat Tarawih? Waktu Solat Sunat Tarawih? Panduan Solat Sunat Tarawih?

Pengertian Solat Sunat Tarawih

Tarawih ertinya beristirehat. Ia dikerjakan selepas solat isyak sehingga menjelang fajar. Solat Tarawih ini hanya dilakukan pada bulan ramadhan dan boleh dilakukan sama ada secara individu atau secara berjamaah. Bilangan rakaat yang dilakukan biasanya 8 rakaat dengan 3 witir atau 20 rakaat dengan 3 witir.
Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “Adalah Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan tetapi tidak mewajibkannya. Baginda bersabda barang siapa bangun pada bulan Ramadan (mengerjakan solat tarawih) dengan rasa iman dan mengharapkan keredhaan Allah maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.

Hukum Sembahyang Sunat Tarawih

Hukumnya sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orangorang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sunat dikerjakan di Masjid, Surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.

Waktu Sembahyang Sunat Tarawih

Ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam. Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak.

Rakaat Sembahyang Sunat Tarawih:

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.

Pada zaman Khalifah Omar bin al- Khattab r.a. pula beliau melaksanakannya sebanyak 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orangorang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.

Sembahyang sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap 8 satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

Lafaz Niat Sembahyang Sunat Tarawih:

Ertinya:”Sahaja aku sembahyang sunat tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.”
Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Antara kelebihan Solat Sunah Tarawih sepanjang bulan Ramadhan mengikut hadis Sayidina Ali Abi Talib ra.

Sayidina Ali Abi Talib ra. meriwayatkan sebuah Hadis (yang panjang) daripada Raulullah s.a.w, iaitu jawapan baginda ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan. Baginda bersabda bahawa:

Malam ke 1 – Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Malam ke 2 – Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa- dosa kedua ibu bapanya.

Malam ke 3 – Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malarnmalam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Malam ke 4 -Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam ke 5 – Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam ke 6 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

Malam ke 7 – Seoalah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

Malam ke 8 – Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam ke 9 – Allah S.W.T akan mengumiakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.

Malam ke 10 – Allah SWT mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Malam ke 11 – la meninggal dunia didalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Malam ke 12 – la akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

Malam ke 13 – la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Malam ke 14 – Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

Malam ke 15 – Semua malaikat yang memikul Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam ke 16 – Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam ke 17 – Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam ke 18 – Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Malam ke 19 – Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.

Malam ke 20 – Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Malam ke 21 – Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

Malam ke 22 – la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

Malam ke 23 – Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

Malam ke 24 – Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 25 – Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam ke 26 – Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 27 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Malam ke 28 – Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

Malam ke 29 – Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.



Malam ke 30 – Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumiah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama Al-Kautsar.

Tuesday 16 August 2011

SIAPAKAH BELIAU?

SYEIKH Ali Goma'a

Syeikh Ali Goma'a adalah Mufti Besar Republik Arab Mesir. Beliau merupakan penguasa Sunni kedua tertinggi di Mesir selepas Syeikh Tantawi dan adalah salah seorang daripada ulama terkemuka di dunia. Sebelum dilantik menjadi Mufti, beliau adalah seorang profesor undang-undang di Universiti Al Azhar. Syeikh Ali bertanggungjawab mengendalikan Dar Al-Ifta' Al-Masriyyah, iaitu sebuah lembaga kajian hukum Islam yang terkemuka, di bawah Jabatan Kehakiman Mesir, yang mana bertanggungjawab untuk meluluskan peraturan-peraturan rasmi agama. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai beliau sila lawati AliGomaa.net.

KENALI TOKOH INI:

SYEIKH JIBRIL.

Beliau adalah Syeikh Muhammad Muhammad Sayyid Hasanin Jibril ataupun lebih dikenali dengan nama Sheikh Jibril. Dilahirkan di daerah Qalyubiyah, Mesir. Berasal daripada "keluarga Al-Quran" kerana ayahnya serta adik-beradiknya kesemua mereka menghafaz Al-Quran. Keluarga mereka bukan sahaja terkenal dengan kebolehan menghafaz Al-Quran dengan baik bahkan mereka juga mempunyai suara bacaan Al-Quran yang sangat fasih dan merdu. Untuk mendengar bacaan Sheikh Jibril, silalah lawati laman web Jebril.com.

Saturday 13 August 2011

KEMUSYKILAN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

SOALAN:
Ustaz, saya ada satu kemusykilan; adakah perkara-perkara ini membatalkan puasa:
menelan kahak atau hingus yang turun dari hidung
tertelan air liur selepas bersahur yang masih mengandungi sisa-sisa makanan selepas masuknya azan subuh
mengorek hidung dan mengorek tahi telinga menggunakan putik kapas 
air masuk ke dalam telinga dan melalui dubur sewaktu menyelam di sungai
mandi atau menggosok gigi selepas gelincir matahari
sekian terima kasih.

JAWAPAN

Dalam masalah perkara yang membatalkan puasa, ada di antaranya yang disepakati oleh ulamak dan ada yang menjadi khilaf. Menurut Imam Ibnu Ruysd; secara amnya ada tiga perkara yang diijmakkan ulamak (yakni telah disepakati sekelian ulamak) bahawa ia membatalkan puasa, iaitu;
[1]
1. Makan
2. Minum
3. Jimak (bersetubuh)

Selain dari itu, terdapat khilaf di kalangan ulamak termasuk perkara-perkara yang disebut dalam soalan di atas. Bagi masalah menelan gelema, kahak dan hingus; para ulamak berbeza pandangan; ada yang berkata ia membatalkan puasa dan ada yang berkata ia tidak membatalkan puasa.
[2] Menurut mazhab Syafi’ie; gelema/dahak yang dikeluarkan dari dalam tekak, jika diludahkan keluar tidaklah membatalkan puasa. Namun jika gelema/dahak itu ditelan kembali selepas berada dalam mulutnya, maka batallah puasa. Adapun menyedut gelema dari kepala/hidung, jika terus masuk ke dalam kerongkong tanpa melalui perantaraan mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun jika disedut masuk ke mulut, kemudian ditelan maka batallah puasa. Jika diluahkan, maka tidak batallah puasa.

[3] Menurut ulamak-ulamak yang lain; menelan gelema tidaklah membatalkan puasa kerana ia biasa berada dalam mulut dan datangnya dari dalam badan bukan dari luar, jadi diumpamakan seperti air liur.

[4]Mengenai sisa makanan dalam air liur; hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika sisa-sisa makanan itu amat sedikit, sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka telah disepakati oleh ulamak bahawa ia tidak membatalkan puasa jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.

2. Adapun jika sisa-sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diluahkan tidaklah membatalkan puasa. Jika ditelan, batallah puasa mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Abu Hanifah; batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa, namun makruh.

[5]Setakat mengorek hidung tidaklah membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah jika dimasukkan sesuatu ke dalam hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.
Mandi adalah harus bagi orang berpuasa dengan syarat tidak berlebihan hingga air memasuki ke dalam rongga tubuh yang terbuka (iaitu rongga halqum (kerongkong), lubang telinga, lubang dubur dan saluran zakat/faraj).
[6] Menurut mazhab Syafi’ie; termasuk dalam pengertian berlebihan ketika mandi ialah mandi dengan menyelam. Jika seseorang menyelam lalu masuk air ke dalam rongga tubuhnya tadi, batallah puasanya. Seorang yang mengetahui bahawa kebiasaannya jika ia menyelam akan masuklah air ke dalam rongga tubuhnya, baginya haram mandi dengan menyelam ketika berpuasa.

[7] Adapun mengikut mazhab Abu Hanifah; masuk air ke dalam telinga kerana menyelam tidaklah membatalkan puasa. 

[8]Menurut mazhab Syafi’ie; memasukkan kayu ke dalam telinga akan membatalkan puasa. Menurut Imam Abu Hanifah; tidaklah batal puasa. Jadi, mengikut mazhab Syafi’ie; tidak harus mencuci telinga dengan putik kapas pada siang hari di bulan Ramadhan kerana ia boleh merosakkan puasa. Adapun mengikut mazhab Hanafi, perbuatan tersebut tidak ada halangan kerana ia tidak membatalkan puasa, cuma yang sebaiknya ialah meninggalkannya (untuk mengelak dari pertikaian ulamak).

[9]Mengenai mandi sebelum berbuka puasa, hukumnya makruh mengikut mazhab Syafi’ie kerana ia mengembalikan kesegaran pada badan, lalu menghilangkan hikmah puasa iaitu merasai kepayahan menahan lapar kerana Allah. Begitu juga, dimakruhkan orang yang sedang berpuasa berseronok/bersenang dengan perkara-perkara harus seperti mencium bau-bauan harum, kerap masuk bilik air, mendengar bunyi-bunyi yang menyenangkan dan sebagainya kerana ia berlawanan dengan hikmah dan kehendak puasa tersebut

[10] Namun, ramai ulamak menolak alasan tersebut berdalilkan hadis dari beberapa orang sahabat yang menceritakan; “Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-‘Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan” (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim). Menurut mazhab Abu Hanifah; tidak makruh mandi dan menyelimuti badan dengan kain yang basah untuk menyejukkan badan.

[11]Mengenai bersugi selepas masuk waktu zohor, menurut mazhab Syafi’ie; hukumnya makruh kerana ia akan menghilangkan bau mulut yang dinyatakan di dalam hadis bahawa bau mulut itu lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Namun sebahagian ulamak yang lain tidaklah memakruhkannya kerana bersugi telah disunatkan oleh Nabi s.a.w. pada setiap kali hendak solat secara umum tanpa baginda mengecualikannya pada bulan Ramadhan. Lagi pun terdapat hadis dari ‘Amir bin Rabi’ah r.a. menceritakan; “Banyak kali aku melihat Nabi s.a.w. bersugi ketika beliau sedang berpuasa” (HR Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis hasan).

[12]Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulamak ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafi’ie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja. Beberapa ulamak terkenal – seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya- cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm; Memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menembus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala; semuanya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak tergolong dalam pengertian makan dan minum. Kata beliau; “Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau mata atau hidung atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam –selain dari makan dan minum- selama ia tidak diharamkan (oleh nas Syarak) ke atas kita”. (al-Muhalla, 4/348).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3.
2. Bidayatul-Mujtahd, Imam Ibnu Ruysd, jil. 1.
3. Rahmatul-Ummah Fi Ikhtilaf al-A,immah, Syeikh Abi Abdillah Muhammad bin Abdirrahman ad-Dimasyqi.
4. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub.
5. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2.
6. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, jil. 1.
7. Panduan Puasa, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Bidayatul-Mujtaihid, 1/381.
[2] Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 436.
[3] Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[4] Al-Fiqh al-Islami, Wahbah az-Zuhaili, 2/657, al-Wajib, Wahbah Zuhaili, 1/342, Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[5] Rahmatul-Ummah, hlm. 92, Fiqh al-Ibadat, hlm. 436, Al-Fiqh al-Islami, 2/658.
[6] Al-Mughni, 2/78.
[7] Al-Mughni, 2/78.
[8] Al-Fiqh al-Islami, 2/657.
[9] Al-Wajiz, 1/343, al-Fiqh Islami, 2/657.
[10] Al-Wajiz, 1/339, al-Fiqh al-Islami, 2/636, 638.
[11] Al-Fiqh al-Islami, 2/637.
[12] Al-Fiqh al-Islami, 2/637, 640.

Thursday 11 August 2011

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
Mendayu…merayu…kepadanya-NYA TUHAN yang Satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan….sungguh khusyuk lagi tawadhu’
tubuh dan qalbu…bersatu memperhambakan diri
menghadap Rabbul Jalil…menangisi kecurangan janji
“innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin”
( Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku…
kuserahkan hanya kepada ALLAH tuhan seru sekelian alam)

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan AL-Quran bakal kau dendang… bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih…berqiamullah…bertahajud…
mengadu…merintih…meminta belas kasih
“sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi… aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU”

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru…kita cari…suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiapkan diri…rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
dikiri dan kanan…lorong-lorang redha Ar-Rahman

Duhai Iiahi…
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
Jadikan ia Ramadhan paling berarti…paling berseri…
Menerangi kegelapan hati kami
Menyeru ke jalan menuju ridha serta kasih sayangMu Ya IIahi
Semoga bakal mewarnai kehidupan kami disana nanti

Namun teman
Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
Apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
Yang mampu bagi seorang hamba itu  hanyalah
Berusaha…bersedia…meminta belas-NYA

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat ku
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH DILAKUKAN



SELAMAT MENYAMBUR RAMADHAN AL-MUBARRAQ……

Monday 8 August 2011

BALIK KAMPUNG

Hari jumaat yg lepas aku balik kampung di Pahang.Aku balik sana sbb nak berbuka puasa sama2 ngan nenek aku.Kat sana kitorang duduk 3 hari 2 mlm.buka hari pertama kami mkn nasi lauk aym msk merah dan air tebu,teh dan soya.Buka hari kedua pula kami mkn nasi lauk aym kicap dan air laici.Fuhh....sedapnya tak terkata.Kami balik pada hari Ahad.Nenek aku kasi aku duit tuk simpan dlm bank.Ini je la cerita aku pasal balik kampung tapi gmbr aku tak masukkan lagi sbb camera ada kat umi aku.Nanti bila2 aku masukkan gambar tu ye...

Wednesday 3 August 2011

Kartun Kesukaanku.

Aku suka lukis kartun Stein Gate.. Ni gambar dia.Cerita ini berkaitan dengan sains,di mana seorang pelajar perempuan yg telah menjadi ahli neurosains(otak berbakat).Dia seorang yg pendiam tetapi segala cadangannya diterima baik oleh org lain.

PUASA HARI KETIGA

Hari ni puasa tak penat sangat. Umi masak Bee Hoo Singapore dan Kuih Cik Mek Molek. Air Milo Ais..puh! power beb!Sedapnya macam kat restoran 5 bintang.
Esok nak suruh umi masak apa ye! Lupa lak, esok nenek dan atok balik umrah, mesti nenek bawak balik  kurma,gelang mekah, jubah kat aku. Berangan ni....
Malam ni x leh tulis banyak2, sbb baru belajar buat blog, banyak lagi nak kena belajar dengan umi, nanti dah terer aku nak lawan blog umi aku.